Friday 27 January 2017

TIPS BANTU ANAK-ANAK BERFIKIRAN POSITIF

Sumber:google

Anak-anak memerlukan dorongan seperti pokok memerlukan air. Dorongan menyediakan peluang kepada anak-anak untuk mengembangkan persepsi mereka….
”Aku boleh, aku berkemampuan untuk membuat/memberi sesuatu. Aku boleh menggunakan kekuatan aku dengan cara yang baik untuk memajukan diri sendiri dan orang lain.”
Berilah dorongan apabila anak melakukan sesuatu yang baik; dorongan kepada usaha yang dilakukannya walaupun hasil usaha mereka itu amat kecil di mata kita.
Beberapa idea yang boleh kita cuba praktikkan untuk membantu anak-anak ceria dan positif.
1. BERSYUKUR .
Salah satu cara yang baik dan mudah untuk mendidik anak-anak supaya pemikiran mereka menjadi lebih positif adalah dengan mengamalkan kesyukuran . Setiap hari, minta anak-anak kita menyatakan 3 perkara yang mereka bersyukur kerana memilikinya. Pilih masa yang konsisten untuk berkongsi kesyukuran itu di antara satu sama lain (selepas solat maghrib sementara menanti masuk waktu ‘Isya misalnya) dan ulangi selama 21 hari sehingga menjadi satu tabiat .
Doa sebelum tidur juga boleh dijadikan ritual untuk menyatakan kesyukuran. Kajian menunjukkan bahawa ritual yang mudah ini mampu membantu otak mengimbas sesuatu kebaikan dan membantu mengukuhkan kenangan yang baik dan positif dari masa ke masa .
2. SENYUMAN.
Senyuman yang terukir di bibir mempunyai keajaiban untuk meningkatkan mood dan pandangan kita. Apabila kita melihat seseorang itu tersenyum, neuron dalam otak kita menerima isyarat mesra dan memberitahu otak kita untuk membalas kembali senyuman tersebut. Aksi ini akan menyebarkan kegembiraan di persekitaran kita. Latih anak-anak supaya mudah tersenyum dengan sentiasa memberikan senyuman kepada kepada mereka terlebih dahulu.
3. JURNAL.
Galakkan anak-anak untuk mengambil sekurang-kurangnya dua minit setiap hari untuk menulis pengalaman positif yang mereka lalui pada hari tersebut. Otak kita tidak boleh membuat perbezaan antara visualisasi dengan pengalaman sebenar, justeru dengan menulis jurnal tentang pengalaman positif yang dilalui memberi kesan positif dua kali ganda.
4. BERMAIN.
Menetapkan sekurang-kurangnya 15 minit sehari untuk melakukan aktiviti yang menyeronokkan bersama-sama seperti bermain badminton, berbasikal bersama-sama, bermain sorok-sorok dan sebagainya. Tabiat yang menyeronokkan selama 15 minit ini bukan sahaja baik untuk kesihatan fizikal tetapi juga baik untuk mengurangkan risiko menghadapi tekanan dan kemurungan.
~
Sebagai ibu bapa, kita jangan sekali merasa penat untuk lakukan hal yang nampak kecil kepada anak-anak yang kita sayangi atau kepada anak-anak kecil lain meskipun sekadar gelak ketawa atau sebuah senyuman atau ucapan terima kasih atau hadiah kecil yang tak berapa bernilai, kadang-kadang hal yang nampak kecil dan tidak berapa bernilai itulah yang paling mereka ingati dalam hidup mereka terutama bila mereka dapat merasa kita sangat tulus dan ikhlas semasa memberikannya dan secara kebetulan saat itu mereka sangat memerlukannya dari seseorang.
Yang paling penting, sentiasa cipta saat-saat indah bersama anak-anak dengan aura paling ikhlas kerana tidak dapat dikira kecil sesuatu yang diberikan dengan ikhlas. Tidak dapat pula dikira besar satu perkara besar yang dilakukan tanpa keikhlasan di dalamnya.
dipetik dari LINK

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...